Sabtu, 10 September 2011

Alat CANTASAN

Alatan Cantasan (Pruning Tools) yang digunakan dalam aktiviti mencantas dignakan untuk memotong dan membuang bahagian-bahagian pokok bagi tujuan tertentu. Aktiviti Cantasan (Pruning) memerlukan kemahiran dan ilmu pengetahuan khusus bagi menentuksn bahawa cantasan yang dijalankan betul dan tepat. Cantasan dijalankan dari peringkat awal untuk tujuan Cantasan Pembentukkan, Cantasan Penyelenggaraan Pokok, Cantasan Untuk Rangsangan Berbunga dan juga Cantasan membuang bahagian yang diserang penyakit. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat mengenai beberapa alat2an cantasan yang biasa digunakan di Malaysia berdasarkan kajian dan pengalaman penulis sendiri dalam bidang pertanian selama 30 tahun.

Beberapa alatan cantasan yang biasa digunakan untuk kerja-kerja cantasan adalah seperti SCATERUS (Gunting Cantasan) , PRUNING SAW (Gergaji Cantasan) dan KNIFE (Pisau Cantasan). Terdapat beberapa alatan lain yang digunakan dalam menjalankan cantasan bergantung kepada teknologi yang ada, jenis tumbuhan, tujuan cantasan, ketinggian tumbuhan, bahagian yang hendak dicantas, kepakaran pencantas dan kekuatan dahan (Lembut, sederhana atau keras). Cantasan bagi tumbuhan ornamental (Bunga Hiasan) agak berbeza dengan aktiviti cantasan untuk tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran (Tanaman makanan).

SCATERUS secara mudahnya adalah alat seperti Gunting yang merupakan alat cantasan paling popular dan mudah untuk digunakan. Scateurs merupakan alat yang menggunakan tangan untuk memotong bahagian yang hendak dicantas diperbuat dari besi yang mempunyai pemegang, ensel dan mata pisau tajam. Bahagian pemegang biasanya disalut dengan lapisan jenis getah dan yang setaraf dengannya untuk memudahkannya di pegang, tidak licin dan berikan kemantapan kuasa pegangan. Bentuk mata scateurs bermacam-macam daripada mata yang rata, separa bulat, lonjong , panjang dan pendek. Mata pisau juga ada yang serong tajam, rata dan sebelah tajam. Ada juga yang stu mata sebelah pelapik dan ada yang tajam dikedua-dua mata.


Pemilihan jenis scateurs bergantung kepada jenis tanaman, tujuan cantasan dan dahan yang hendak dicantas. Bagi tanaman berkayu lembut dan bersaiz kecil (Kurang 2 cm garispusat) maka memadai dengan menggunakan scateurs yang mempunyai dua mata atau satu mata. Kerja mencantas dahan lembut mudah dilaksanakan jika mata pisau tajam seperti mencantas pucuk bunga kertas, tunas air pada dahan pokok buah-buahan (Limau, Rambutan, Longan dsb). Bagi dahan yang mempunyai kayu sederhana keras dan bersaiz sederhana garispusat (Kurang 4 cm garispusat) boleh digunakan scateurs yang berbentuk separa bulat (Lihat foto) dengan menghalakan mata scateurs dan potong dengan membuat putaran kepada dahan terebut. Kaedah ini tidak merosakan kulit pokok dan dapat bentuk potongan yang licin dan tidak mencederakan tanaman. Ada dahan yang perlu dipotong dengan 'menyerong' bagi memudahkan potongan dan tidak berlaku takungan air yang akan menyebabkan serangan kulat.


Gergaji Cantasan (Pruning Saw) pula merupakan alatan mencantas yang sesuai digunakan untuk dahan yang lebih keras dan dahan bersaiz besar sama ada dahan tersebut rendah atau tinggi. Gergaji Cantasan atau (GC) biasanya diperbuat dari besi yang sangat berkualiti untuk mempastikan mata pisau sentiasa tajam , tahan lama dan tidak mudah tersepit (Kesat) apabila digunakan. Mata gergaji berbagai bentuk sama ada tajam sebelah atau tajam dua belah. Mata gergaji 'makan sebelah' bertindak dengan memotong apabila gergaji di tolak atau di tarik sahaja manakala 'mata makan dua belah' akan memotong semasa gergaji di tolak dan ditarek. Terdapat juga GC yang boleh dilipat untuk memudahkan cara penyimpanan dan menentukan keselamatan pengguna.


Bagi pokok yang tinggi perlukan alat cantasan khusus sama ada bentuk scateurs atau gergaji yang disambung dengan Galah pemegang yang diperbuat dari jenis logam yang kuat (Aluminium, besi, GI Pipe dsb). Tergapah galah yang boleh diubahsuai ketinggian (adjustable height) bagi memudahkan kerja-kerja cantasan. Bagi jenis scateurs biasanya di sambung dengan tali untuk ditarik dan mata scateurs akan memotong dahan tersebut. Alatan jenis ini dapat mengelakan pengguna daripada kena panjat pokok untuk menjalankan kerja-kerja cantasan. Memanjat pokok untuk mencantas agak merbahaya kerana risiko jatuh kebawah, risiko tercedera kerana alatan dibawa dan risiko dahan patah.


PISAU atau PARANG juga merupakan alatan tradisional untuk membuat cantasan. Alat ini yang serinag dibawa oleh petani tradisional dikebun merupakan rakan karib mereka untuk mencantas dahan dengan memotong (Slashing) terhadap dahan-dahan yang hendak dibuang walau pun cara ini kurang menepati amalan agronomi. Peringatan kepada pembaca sila sapukan cat atau bahan kimia diatas permukaan potongan dahan yang dicantas untuk mengelakkan serangan kulat dan serangga perosak dikawasan yang luka.


Harga scateurs di pasaran atau kedai berbeza mengikut kualiti, saiz, bentuk dan mengikut jenama (Impot atau lokal). Kajian saya di Johor dan Melaka mendapati harga scateurs paling murah cuma RM 5.00 (Made in China) yang tidak kuat dan yang mahal saya beli harganya sekitar RM 120.00 (Impot dari German) yang tajam dan kuat. Menurut penjual ada scateurs yang berharga lebih RM 250.00 dipasaran. Bagi Gergaji Cantasan yang sesuai untuk dibeli , tajam dan mudah digunakan berharga lingkungan RM 65 - RM 150.00. Sebaiknya beli yang tajam dua belah mata kerana mudah digunakan. Pemilihan alatan untuk cantasan bergantung kepada kegunaannya, modal yang kita ada dan juga kecekapannya. Diharap artikel ini dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada para pembaca sekelian.


PAKAI SCATEURS....CANTASAN DILAKUKAN...
GUNA GERGAJI CANTASAN... MENAKJUBKAN...
KERJA MENCANTAS... POKOK JADI CERGAS....
ILMU MENCANTAS...GAP DI JADIKAN TERAS...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar