Sabtu, 10 September 2011

Menanam Bawang Merah

Tanaman bawang merah di Kelompok Kg Sri Pantai, Mersing pada tahun 1999.

Bawang Merah (Allium cepa) merupakan sejenis tanaman umbisi yang boleh ditanam di Malaysia. Penulis mempunyai pengalaman menanam bawang merah ketika bertugas sebagai Pegawai Pertanian Daerah Mersing dari tahun 1996 - 2001. Pada tahun 1998 berlaku krisis bekalan bawang merah dunia menyebabkan harga bawang merah yang biasanya dijual runcit pada purata harga RM 1.20/kg telah meningkat sehingga RM 5.40/kg. Krisis ini disebabkan oleh beberapa negara pengekspot utama bawang ke Malaysia seperti India, China, Thailand, Indonesia dan sebagainya mengalami bencana kemarau akibat El.Nino. Harga yang mahal pun Okey jika ada bekalan tetapi isunya ialah ia amat sukar untuk mendapatkan bekalan bawang merah ketika itu. Kementerian Pertanian melalui Jabatan Pertanian melancarkan beberapa program pemerhatian untuk menanam bawang merah.



Projek tanaman bawang merah di Mersing di jalankan di Pusat Pertanian Teluk Sari, Endau dan Projek Kelompok Sayuran Kg Sri Pantai Mersing. Terdapat 3 jenis bawang yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu Jenis SIAM, INDONESIA dan INDIA. Bawang Jenis dari China kurang sesuai ditanam di Malaysia dan harga mahal. Tanah yang sesuai untuk bawang merah mesti mempunyai saliran yang baik dengan pH 6.0 - 7.0 dan tidak boleh di tenggelami air. Penanaman bawang mesti dibuat diatas batas berukuran 4-10 inci tinggi dan lebar 36-48 inci lebar serta panjang ikut kesesuaian. Bubuh baja asas organik dan sebaiknya sungkupan jerami padi kering digunakan. Tanpa sungkupan merosakan benih yang baru ditanam akibat hujan dan hakisan (Tanah Bris di Mersing).

Benih bawang segar di pasaran digunakan (Jenis India dan Indonesia) dengan harga RM 40-RM60 satu bakul buluh (lingkungan 8-10 kg). Benih dipilih dari pembekal yang di Kluang dan Mersing dan dipastikan tidak ada yang busuk. Asingkan umbisi bawang dari rumpun dan potong bahagian atas sedikit untuk mempercepatkaan pertumbuhan semasa penanaman. Kalau tidak dipotong bahagian atas lewat pertumbuhan antara 3-5 hari. Keperluan benih antara 1,200 -1,500 kg/ha. Biji bawang di celup dalam racun cendawan dan racun kulat sebelum ditanam dengan jarak 13 cm x 13 cm (5 inci x 5 inci) dengan 2/3 dalam tanah. Penyiraman dijalankan sekali sehari dan jangan biarkan terlalu basah atau terendam sebab bawang akan reput.

Semburan racun rumpai pra-cambah (Lasso) adalah digalakkan untuk kurangkan gangguan akar bawang jika dijalankan aktiviti mencabut rumput secara manual. Pembajaan dengan baja NPK 15:15:15 (Cpd 88)peringkat awal dan baja ICI Compound 55. Boleh dikatakan tiada musuh tanaman bawang yang serious tetapi Lembu telah musnahkan tanaman bawang di Kg Sri Pantai, Mersing. Serangan Ulat ratus (Spodoptera litura) terdapat di Mersing dan kurang serious, Penyakit utama didapati di Mersing ialah Hawar Daun atau Tumpok dan kawalan dengan Mancozeb boleh dijalankan. Bagainama pun plot tanaman di Teluk Sari (Tanam Bris) serious diseranag penyakit iini. Penyakit lain ialah Reput Bawang /Umbisi akibat terendam atau serangan kulat. Serangan Penyakit tumpuk ungu (Altenaria porri) boleh dikawal dengan racun kulat. Penyakit pucuk putih (White tips) terdapat di kedua2 plot dan menyebabkan daun jadi kering dan hasil sangat kurang.

Kawalan rumpai sangat penting sebab kajian di Sri Pantai mendapati batas yang mempunyai rumpai banyak merosakkan pertumbuhan bawang sehingga 70%. Pokok bawang di Mersing matang dan di tuai selepas 75 - 90 hari ditanam iaitu apabila daun bawang telah mulai kering. Kajian daripada buku menyatakan potensi hasil tanaman bawang merah sebanyak 10-13 mt/ha tetapi pemerhatian di Mersing cuma 3.8 mt/ha di Stesyen Teluk Sari, Endau dan sebanyak 4.5 mt/ha di Kelompok Sri Pantai Mersing. Pencapaian cuma 40-45% dari hasil potensi ini dijangka kerana serangan layu daun/white tips dan kerosakan akibat reput bawang. Tanah Bris juga kekurangan bahan organik serta suhu yang panas pada tengahari.

Rumpun bawang yang dituai diikat dan dikeringkan dibawah sistem pengudaraan yang baik. Bawang ini tahan disimpan dan boleh digunakan semula untuk dijadikan benih tanaman dan sebahagian dijual dikalangan kakitangan jabatan dengan harga RM 1.50/kg serta penduduk disekitar Mersing. Kajian penulis mendapati satu biji bawang akan jadi sebanyak antara 15 - 25 biji bawang serumpun walaupun kajian mendapati di India mencapai 40 -60 biji/rumpun.
Pengalaman penulis mendapati penanaman bawang di Mersing seperti berikut:-


a. Penamanan bawang kurang ekonomik. Kos benih (Bawang segar) yang mahal dan belum ada bahan tanaman murah yang sesuai (Biji Benih - belum ada).
b. Kejadian serangan penyakit "White Tips" atau Pucuk Putih mudah berlaku pada setiap umur penanaman dan sukar dikawal. Kes di Mersing akibat penyakit ini sehingga lebih 70%
c. Kos buruh agak tinggi untuk kerja2 kawalan rumpai sebab racun rumpai tidak boleh digunakan (Walau pun racun pre-emergence ada)
d. Harga jualan ladang RM 1.20 tidak menguntungkan (Kiraan mendapati kos pengeluaran setiap kilogram di Mersing RM 2.80 (Endau) dan RM 2.65 di Mersing.


Penanaman bawang merah di Malaysia perlukan kajian lebih lanjut dan teknologi baru. Pengalaman di Mersing membolehkan penulis tahu mangenai pelunya teknologi penanaman bawang merah dimajukan. Teknologi di Indonesia dan Thailand boleh di adaptasi jika betul penanaman bawang hendak ditanam secara komersil di Malaysia!.

TANAM BAWANG.... SUSAH NAK CARI WANG..
ILMU BAWANG.... TAK PERLU JUMPA PAWANG...
DAH TANAM KAT MERSING .... KEPALA PUSING....
SAMPAI BILA NAK IMPOT BAWANG.... RANCANG...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar